Mencari semula cahaya yang kelam

Bismillahirrahmanirrahim..

Langit biru nun jauh di sana tidak jelas kelihatan dek kerana awan kelabu menutupi pandangan kasar itu. Matahari jarang sekali menampakkan dirinya. Detik demi detik memori mula mendatangi fikiran hingga kadang rasa menyesal mula menyelubungi. Terasa sebentar sekali. Padahal baru hari itu mendapatkan info mengenainya. Tiada kudrat yang bisa dititipkan melainkan du'a buat dirinya. Biarpun tidak pernah berbicara dengannya tapi kembalinya dia pasti dirasai oleh semua. Tidak mampu membantu itulah aku.

Berada dalam zona keselesaan di negeri sendiri, kerdil sekali diri ini kerana tiada apa yang bisa aku bantu mereka yang jauh di negeri seberang. Benarlah kalau di sisi Allah manusia itu kerdil sekali, biar pangkat, harta maupun darjat dalam genggaman, tetap Allah itu Maha Besar. Ajal maut jodoh pertemuan itu semua Allah tentukan. Sungguh semua di dunia ini adalah ujian buat manusia, sampai waktu untuk Allah ambil kembali, kita harus redha dengan itu. Pasti Allah menjaganya lebih baik dari kita. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Berdoalah agar husnul khatimah itu kita miliki.

Dingin malam itu ditiup angin. Sedingin hati ini yang merindukan tahun-tahun yang lalu. Aku rindukan detik itu, rindukan waktu itu saat hati ini masih kuat, saat qalbi ini masih utuh dari benteng yang namanya kesibukan. Segala yang dialami ini hanya Allah yang tahu. Namun, tetap bersyukur kerana Allah kurniakan mereka untuk aku ditegur, Baitul Sakinah. Allah masih berpaling ke arah aku. Alhamdulillah, nikmat itu masih dirasakan. Takutnya kalau cahaya itu diambil kembali, takutnya kalau aku terus lena dengan kesibukan yang tiada noktah, tiada kata hujung.

Hidup ini akan lebih bermakna bila kita berbakti. Letaklah Allah yang pertama dalam hati ini, maka diri takkan pernah kecewa. Hati ini yakinlah bahawa Allah memberikanmu yang terbaik dalam segala sesuatu. Adakah susah untuk sentiasa bersyukur wahai hati?

Awalnya cahaya itu cuma ibarat bara
di unggun api
Di setiap kibasan angin maka ia menyala
menjadi penerang hati
Tika itu semuanya segar dan bersemangat
dalam memberi
Namun jatuh tersungkur pada yang namanya
kesibukan dunia
Hingga lupa pada tujuan dan matlamat
asal dulunya
Mungkin ini peringatan agar tidak terus lalai
dan terlena
Begitulah aku yang lemah tatkala datang kepadaku
ujian nyata
Kini aku ingin mencari kembali cahaya itu
Cahaya yang dulunya bersinar di sudut hati ini
agar ia tidak kelam lagi
Bantulah aku ya Allah
Sungguh
Bantulah aku ya Allah
dan ampunilah aku ya Allah

23.20/Kamar kecilku/Terengganu/Malaysia
17 Rabiul Akhir 1433 H/27 Februari 2013 

Comments

Popular Posts