Berusaha untuk jadi lebih dari biasa

Assalamualaikum w.b.t... Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah ya Rabbal Alamin.
Jari jemari ini menaip, mengucap lafaz syukur tak terhingga kepada Mu ya Allah. Sungguh engkau hadirkan hati-hati kami untuk sama-sama duduk di taman syurga itu.

Sudah lama saya tidak menulis sebarang bentuk penulisan melainkan banyak kepada puisi menjadi selingan yang insyaAllah bermanfaat kepada sesiapa yang membaca. Namun kali ini lebih kepada suatu  pengalaman yang ingin saya kongsikan ketika hujung minggu terpenuhi dengan satu slot bersama akhwat dari Jakarta tentang sejarah kita.

Kalau dahulu memang sekadar belajar, menghafal demi untuk sekeping kertas, bermatlamat hanya untuk Lulus Ujian/Peperiksaan yakni pembelajaran Pendidikan Agama Islam dan Sejarah. Waktu itu saya amat meminati sejarah. Banyak dari sejarah kerajaan Eropah saya lebih tahu ketika ditanya namun kalau tentang Islam, susah sekali untuk saya hafal dan ingat. Waktu itu merupakan zaman kegelapan bagi apa yang saya rasakan sekarang. Walau saya dapat A untuk subjek Sejarah dan Pendidikan Agama Islam ketika Peperiksaan SPM, baru kini saya sedar dan saya bersyukur Allah beri saya kefahaman itu sebelum hati menjadi keras dan lebih leka, jauh dari jalan yang bukan landasan Allah. Ambil tahu demi sekeping kertas.

Saya hairan. Kenapa kalau mengenai Eropah lebih mudah ingat dari segala yang berkaitan dengan Islam. Bukankah diri saya ini seorang Muslim? Sewajarnya Islam yang saya akui itu yang patut saya arif. Ketika itu, saya masih lagi dari golongan yang biasa. Banyak benda saya hanya belajar kerana Islam atas Kad Pengenalan. Bukan Islam yang sebenar-benarnya.

Jauh Allah terbangkan sahabiah-sahabiah Jakarta ini ke Makassar kerana atas nama ukhuwah fillah, pengisian ilmu Allah disampaikan, ketika itu juga hati ini mula faham. Kondisi keagungan umat Islam dahulu dengan sekarang amatlah jauh berbeza. Penyakit wahan semakin berleluasa. Sejarah dahulu tidak lagi punya kita. Tapi adakah sekarang kita tidak punya kuasa?

Islam ini pada asalnya dagang (asing), dan ia akan kembali dagang (asing) pada akhirnya. Adakah kita tidak ingin menjadi orang asing itu? Mereka beruntung di sisi Allah dan janji Allah itu pasti. Kemenangan ummah pasti akan muncul jua suatu hari nanti. Orang Islam itu sangat banyak di akhir zaman, namun mereka itu umpama buih-buih di lautan. Musnah dan hilang saat ombak menghempas.

Kerana itu kita harus jadi lebih dari biasa. Jadilah seperti logam, saat dibakar sekalipun, ia lentur. Mampu dibentuk dan ditempa. Datanglah pelbagai cubaan sekalipun, bilamana segala sandaran harapan kita, du'a kita, hidup kita, ibadah kita, dakwah kita dan segala-galanya adalah Lillahi Taala, maka Allah tunjukkan jalan kita.

Demikian ini, saya ingati dan menghisab diri sebelum nanti saya dihisab oleh Allah.

Semoga perkongsian ini mampu mengingatkan kita, mentarbiyah kita tentang kenapa kita diciptakan? kenapa kita harus percaya diri? Sumbangan kita pada ummah? jangan sampai suatu saat kita malu dan dimurkai di hadapan Allah.

Segala puji bagi Engkau Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Astaghfirullahalazim3x. Sungguh aku berlindung dari segala kejahatan diriku dan keburukan amalku. Sungguh aku hamba yang daif lagi lemah.


Comments

Popular Posts