Antara Silaturahmi dan Rahmat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Begitulah nikmatnya silaturahmi dan bulan Rahmat, Ramadan Kareem. Setelah berpindah ke kawasan yang sekitarnya penuh dengan pohon lebat menghasilkan rezeki, damai aku temui. Alhamdulillah. Ku rasakan begitu banyak limpah kurnia yang Allah berikan pada kami (aku bersama teman).

Saban hari, ku merasa jiran sekeliling bertambah erat silaturahmi antara mereka, bahkan aku dan juga teman walau kami baru sahaja berpindah. Begitulah tanda mulianya titik permulaan dalam melewati bulan penuh barakah ini. Ingin aku coretkan pengalaman aku yang belum pernah aku alami sebelum ini. Moga kisah ini menjadi iktibar buat diri aku agar sentiasa muhasabah diri walau siapa pun diri kita sekarang dan kehadapan.

Sewaktu selesai menunaikan solat subuh di Jami' al-Ikhlas yang jaraknya tidak sampai setengah kilometer dari kediaman kami, tibalah waktu bersalaman antara para jemaah. Ku lihat ada seorang nenek tua yang melewati di hadapanku, lalu kuhulurkan tangan dan mencium tangannya. Namun, huluranku bukan sahaja disambut genggaman malah dia mencium kembali tanganku. Aku hanya diam dan tersengih tanda keliru. Lantas sengihku bertukar senyum ketika dia peluk erat tubuhku bersentuhan pipi sebanyak dua kali.

Ini perkara pertama yang belum pernah aku alami. Sebelum ini juga, sewaktu aku dan teman bersalaman dengan para jemaah di masjid tersebut, kerap kali kami dibalas dengan ucapan "Cantik", "Cantik-cantik ini", "Aduh, cantiknya". Kadang aku tidak mengerti kenapa? tapi aku merasa mungkin kerana kami ini masih anak-anak muda. Aku dan teman-teman juga ada dijemput iftar di rumah jiran pada Ramadan kali ini walaupun hanya berkenalan begitu sahaja. Betapa hebatnya ukhuwwah yang ingin mereka bina.

Semasa di BTP dahulu kami jarang sekali kenal jiran tetangga melainkan yang tinggal di samping kami sahaja. Itupun sewaktu pertengahan tahun kerana awalnya aku sering timbulkan persoalan sibuk atau penat. Sememangnya salah aku, seharusnya aku bertegur sapa dahulu dengan jiran tetangga. Jadi tidak hairanlah kalau tiada undangan iftar. Ramadan kali ini lebih terasa berbanding tahun lepas. Ya, mungkin kerana kami sibuk menguruskan junior waktu itu tapi tidak sesekali aku menyalahkan sesiapa melainkan pada diri sendiri.

Kalau nak dikira zaman Rasulullah dahulu, ada peperangan sewaktu bulan Ramadan namun mereka tetap menang, menang pada akal, rohani, nafsu, jalinan ukhuwwah serta menegakkan syiar Islam. Pada zaman Rasulullah, sahabat dan ahlul bait juga, ramai pemuda dan wanita yang umurnya sebaya denganku sudah pun menjadi mujahid dan mujahadah di jalan jihad Allah. Harus aku ambil iktibar dan jadikan semangat buat diri supaya tidak lalai dan leka dengan kemewahan dunia.

Alhamdulillah, puji syukur pada-Mu Allah kerana kurasakan Ramadan kali ini lebih bermakna.
Ya Allah Ya Syakur, izinlah aku selalu bersyukur atas nikmat-Mu yang tak terukur.

Amin Ya Rabb al-amin.

Comments

  1. subhanallah.. itulah ukhti.. saat akhlak menjadi jalan untuk membina jambatan hati.. sungguh, org mukmin itu bernilai disisi Allah saat dia bermanfaat pada orang lain.. pengalaman yang menarik... mabruk atas perkongsiannya.. ^_^

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts